Sunday, January 18, 2009

MEMORI PANTAI RUSILA











Seusai petang yang mendingin, kelihatan tiga pemuda menyusuri kepekatan malam menyambut panggilan jihad di satu daerah yang sangat jauh dari tempat tinggal mereka. Perjalanan yang jauh itu membuka ruang seluas-luasnya buat mereka menimba pengalaman berharga di bumi yang dahulunya pernah dijalankan undang-undang Islam sebagaimana yang telah dinukilkan di atas sebuah batu yang dimasyurkan sebagai Batu Bersurat peninggalan kerajaan silam negeri Terengganu. Mereka ditakdirkan mengutip memori-memori indah yang tiba di kemuncaknya di Pantai Rusila



Di perkarangan masjid ini, terlukis tapak-tapak kaki para mujahid yang hadir dari segenap pelusuk negara untuk menginfakkan diri mereka di Jalan Allah, menentang kejahilan manusia yang semakin hari menghakis benih-benih aqidah dan akar-akar iman umat Islam di negara ini. Pertemuan mereka seawal pagi jumaat di Masjid yang indah ini dihiasi dengan permandangan yang jarang-jarang sekali ditemui di mana-mana masjid iaitu suasana Solat Subuh yang mirip Solat Jumaat. Satu fenomena yang sangat ditakuti oleh Yahudi Laknatullah dan kuncu-kuncunya yang bertebaran di atas muka bumi termasuklah yang berada di negara ini. Kehadiran Tuan Guru yang mengimami solat subuh menerbitkan rasa sayu di hati pengikutnya yang tergambar jelas keletihan pada raut wajahnya dan terdengar sayup-sayup suara yang bisa menerbitkan keinsafan di hati. Pagi yang hening itu turut dihiasi dengan alunan kuliah subuh yang disampaikan sendiri oleh Tuan Guru Presiden PAS yang mana pengisiannya menyentuh terus lapangan jiwa setiap pendengarnya.



















Perjalanan ini akhirnya sampai di medan perjuangan yang sudah lebih dari seminggu dihiasi dengan peperangan poster yang memenuhi segenap pelusuk P.36 Kuala Terengganu. Masyarakat Kuala Terengganu seakan-akan meraikan satu pesta yang jarang-jarang sekali di lalui oleh mereka. Bandar ini dipenuhi oleh puluhan ribu manusia yang bertekad untuk memastikan ideologi mereka di terima pakai oleh penduduk di sini. 



Tibalah hari yang dinanti-nantikan oleh setiap insan di Kuala Terengganu iaitu Hari Membuang Undi. PAS Kawasan Puchong yang diamanahkan untuk berbakti di UPU Mengadang Akar, DUN Ladang di awal pagi lagi telahpun berkumpul di pusat pembuangan Undi, sekolah Sultan Sulaiman 2. Kami di pecahkan kepada beberapa kumpulan yang ditugaskan untuk merayu undi di kawasan berhampiran sekolah, di sepanjang jalan yang menghubungkan para pengundi ke tempat pembuangan undi.

Masa berlalu dan terus berlalu, akhirnya tiba saatnya pintu pusat pembuangan undi di tutup kepada semua pengundi. Pengiraan terus dilakukan di tempat pembuangan undi. Kami terus melakukan aktiviti kami sendiri iaitu membeli-belah. Namun, hati ini tetap berdebar menantikan keputusan yang bakal di ketahui sama ada Allah memberikan kemenangan kepada Islam ataupun Allah mahu menangguhkan kemenangan itu lantaran kesilapan dan kelemahan daripada diri kami sendiri.



Azan maghrib berkemundang sayup-sayup kedengaran dari Masjid yang menjadi kebanggaan penduduk Kuala Terengganu. Kami menunaikan Solat Maghrib dan Isya' di sini sambil berehat mengumpul tenaga untuk mengharungi perjalanan pulang ke Puchong. Di waktu inilah, maklumat-maklumat terkini muncul di skrin telefon bimbit kami. Alhamdulillah, Keputusan tidak rasmi menyatakan PAS menang di keempat-empat DUN. 

Akhirnya keputusan diumumkan dengan PAS menang dengan majoriti lebih besar iaitu 2,631 meruntuhkan terus keangkuhan UMNO dan Barisan Nasional yang melakukan kerosakan di Muka Bumi Allah ini sejak sekian lama. sambil itu, kami meneruskan perjalanan pulang dengan mengalunkan alunan syukur di sepanjang perjalanan.

No comments: