Sunday, February 27, 2011

Ancaman Buat Mereka Yang digelar Pejuang Agama Yang Tulen

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" (2:155)

Segala Puji Bagi Allah SWT yang telah memberikan nafas berselang-seli dengan nikmat hidup di atas muka bumi ini buat semua makhluk terutamanya kita, manusia yang diberi taklifan oleh Allah SWT untuk mentadbir dunia dengan pengetahuan Agama yang wajib kita pelihara. Sesungguhnya beban mulia ini tidak dapat dijalankan dengan baik sekiranya kita tidak dapat memahami hakikat perjuangan menegakkan Agama yang tercinta ini tidak pernah sunyi daripada menerima ancaman-ancaman dari pelbagai sudut, sama ada perkara yang biasa terfikir oleh kita mahupun kuisan yang bisa melunturkan terus iltizam dan fikrah perjuangan yang menjadi nadi kehidupan kita sejak sekian lama.
Bersesuaian dengan apa yang disebutkan oleh Allah dalam ayat di atas yang mana ketika duduk di barisan perjuangan Islam, kita pasti akan diuji dengan perkara-perkara yang bakal meruntunkan kecekalan dan ketabahan kita untuk terus kekal dalam medan yang penuh ranjau ini. Maka pada ketika itu, akan timbul lah penyakit-penyakit yang tidak diingini oleh mereka yang mengaku memperjuangkan Islam melainkan mereka yang dikhabarkan oleh Allah SWT sebagai orang yang sabar menghadapi setiap dugaan dan cabaran yang menimpa.

Mungkin kita pada hari ini sekadar di penjara akal dan minda kita, ataupun kita dicemuh dengan tuduhan-tuduhan yang tidak pernah kita lakukan. Tidak ketinggalan juga, mungkin ada di kalangan kita yang diperintahkan oleh pembesar-pembesar untuk di buang daerah atau diusir dari tempat kediaman. Namun, ada sesuatu yang boleh kita syukuri di kala ini, tidak ramai dari kalangan kita yang di ancam dengan nyawa mereka terpisah dari badan. Sedangkan ketiga-tiga perkara ini menjadi kemuncak kepada perjuangan Nabi Muhammad SAW di bumi Makkah, apabila satu peristiwa yang berlaku sebelum Allah SWT menitahkan Nabi SAW untuk berhijrah ke Madinah. Satu peristiwa yang menjadi dalil terhadap ancaman-ancaman yang mungkin menimpa para pencinta Agama atau lebih teruk lagi ancaman itu berubah menjadi realiti yang perlu ditempuhi dengan sabar.

Ketika mana pemimpin-pemimpin musyrikin Makkah berkumpul di Dar An-Nadwah, pada ketika itu datang seorang lelaki tua yang mengaku datang dari Najad memohon kepada pembesar-pembesar quraisy untuk menyertai mesyuarat untuk menyekat pergerakan dakwah Nabi SAW. Kehadiran Iblis yang menyamar sebagai lelaki tua itu lagaknya persis seorang fasilitator jahat yang membimbing pembesar-pembesar itu membuat keputusan. Lelaki tua itu mula memberikan pandangan bahawa Nabi Muhammad SAW sekiranya tidak disekat pasti akan mengatasi para pembesar tersebut dengan Agama yang dibawa olehnya. Lantas bangun salah seorang daripada mereka berpandangan supaya dipenjarakan Nabi SAW. Lelaki tua itu mencantas dengan menyatakan apabila Baginda Nabi SAW dipenjara, pasti akan ada pengikut-pengikutnya yang akan berusaha untuk membebaskannya.

Selepas itu bangun pula seorang pembesar lain yang mecadangkan agar Nabi SAW dibuang daerah atau diusir dari bumi Makkah. Cadangan ini turut ditolak oleh Iblis yang berhujah menyatakan bahawa, Nabi SAW mempunyai kemahiran berkata-kata dengan baik, sudah tentu perkara ini akan menyebabkan Baginda Nabi SAW mempunyai kesempatan yang cukup untuk mengumpulkan pengikut yang lebih ramai dan akhirnya akan menyerang para pembesar Quraisy di kemudian hari lantas mereka semua akan dibunuh oleh kebangkitan Muhammad SAW. Penolakan idea ini dipersetujui pembesar lainnya. Bangun Pula Abu Jahal (semoga Allah melaknati beliau) sesudah itu lantas beliau mencadangkan agar dikumpulkan seorang pemuda yang gagah daripada setiap Qabilah Arab Makkah lalu diberikan kepada mereka sebilah pedang yang tajam bagi setiap orang. Sesudah itu mereka ini akan diarahkan untuk membunuh Nabi Muhammad SAW ketika mana baginda sedang tidur. Selepas itu, darah yang gugur dari Batang tubuh Nabi SAW akan dipertanggungjawabkan ke atas setiap qabilah dan pada masa itu, Bani Hasyim pasti tidak akan mampu untuk memerangi semua qabilah yang terlibat.

Cadangan ini telah menerbitkan kuntuman senyum di raut wajah lelaki tua itu lantas dia mengatakan bahawa inilah cadangan yang paling baik dan mesyuarat itu selesai dengan keputusan sebulat suara untuk Membunuh Nabi Muhammad SAW, maka dengan itu mereka akan merasakan tiada lagi orang yang boleh mengganggu gugat kedudukan dan pangkat yang mereka miliki.

Cabutan minit Mesyuarat tersebut telah disampaikan oleh Jibrail a.s kepada Baginda Rasul SAW. Jibrail a.s menyatakan agar Nabi SAW tidak tidur di tempat tidurnya pada malam itu dan bersiap sedia untuk berhijrah ke Madinah pada hari itu juga. Sebaik sahaja Nabi SAW berhijrah bersama-sama Saidna Abu Bakar As-siddiq, maka turun ayat Allah SWT yang mengkisahkan tentang ancaman-ancaman terhadap mereka yang memperjuangkan Islam sebagaimana yang termaktub dalam Surah Al-anfal, ayat ke 30 yang bermaksud:-

"Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusir-mu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya

Kesimpulan yang boleh kita lihat di sini adalah, di mana sahaja tanah yang kita berpijak di atasnya dalam dunia ini, kita pasti akan menjumpai golongan yang akan cuba bertindak sebagaimana tindakan Kafir Quraisy yang disebutkan tadi iaitu mereka ini akan cuba untuk menutup cahaya-cahaya hidayah Allah Ta'ala dari menyinari hati mereka dan juga manusia di sekelilingnya. Justeru, berbahagia lah bagi mereka yang mampu menghadapi ancaman-ancaman ini dengan sabar. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan mereka Hidayah untuk kembali ke jalan kebenaran. Jika tidak, gelapkanlah hati mereka segelap-gelapnya supaya ia akan menjadi asbab untuk menerima buku amalan pada tangan kiri di Hari yang mana tiada bergunanya amalan mereka pada ketika itu.

1 comment:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)